RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat
baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi
Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat
manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada
sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah
daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil
Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama
bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman
itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara
senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka
meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh
penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas
berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang
membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

